BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

HAK MILIK BERSAMA

SALAM ALAIK

Friday, December 3, 2010

Ujian kematian - Menuntut kesabaran yang tinggi

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud Maha Suci Allah Yang berada di tangan-Nya segala kerajaan dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu, Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun. (Al-Mulk : 1-2)

Kematian dan kehidupan sebagaimana yang dinyatakan di dalam firman Allah ini ternyata merupakan ujian yang bertujuan mengenali mereka yang terbaik amal perbuatannya. Mereka yang terbaik sudah tentulah mereka yang redha terhadap pelbagai ujian dan begitulah sebaliknya.

Menerima kehidupan sebagai satu ujian lebih mudah berbanding menerima ujian kematian. Seringkali apabila ditimpa sesuatu musibah atau mengalami sesuatu kegagalan, seseorang akan memujuk hatinya dengan berkata ``Ini ujian Tuhan, insya-Allah ada hikmahnya.'' Kata-kata seumpama ini harus dipuji. Ia menandakan kefahaman terhadap hakikat kehidupan sebagai satu ujian. Orang yang redha dengan ketentuan Tuhan dalam kehidupannya merupakan orang yang baik amal perbuatannya.

Sifat redha dengan ujian kehidupan ini tidak akan lahir dalam diri seseorang melainkan setelah ia memahami segala yang dimilikinya adalah pinjaman daripada Allah semata. Kehidupan ini juga merupakan medan ujian yang boleh datang pada bila-bila masa. Keterbukaan hati dan kesediaan jiwa menghadapi kemungkinan-kemungkinan ini adalah faktor penting bagi kekuatan jiwa dalam menghadapi sebarang ujian.

Unsur-unsur ini pula hanya lahir daripada keimanan yang kukuh terhadap keTuanan Allah dan kehambaan seorang manusia. Dalam waktu sama, tidak ramai yang memahami bahawa ujian hidup tidak hanya datang dalam bentuk musibah. Ujian hidup juga pada hakikatnya datang dalam bentuk kesenangan dan kemewahan hidup. Kelekaan dalam kemewahan sehingga mengabaikan kehidupan akhirat merupakan kegagalan dalam berhadapan dengan ujian ini. Kegagalan ini tidak melayakkan seseorang itu digolongkan di dalam kumpulan yang terbaik amal perbuatannya, sebagaimana dinyatakan dalam firman Allah s.w.t di atas tadi.

Setelah memahami kehidupan sebagai satu ujian, bagaimanakah pula memahami ujian kematian. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud Kami (Allah) pasti akan menguji kamu dengan ketakutan, kelaparan, kekurangan hasil kekayaan, kehilangan jiwa (kematian) dan kekurangan makanan. Dan sampaikanlah Khabar gembira pada orang-orang yang sabar. (Al-Baqarah : 155). Dalam firman Allah ini, kematian atau kehilangan jiwa dinyatakan sebagai satu ujian.

Kematian atau kehilangan jiwa yang disebutkan di dalam ayat tersebut dikaitkan dengan sifat sabar. Allah menyeru agar Rasulullah s.a.w. menyampaikan khabar gembira bagi orang-orang yang sabar. Seruan ini menandakan ujian-ujian yang telah dinyatakan, termasuk ujian kematian merupakan perkara besar yang menuntut kesabaran dalam jiwa insan yang menghadapinya.

Kesabaran dalam menghadapi kematian orang yang disayangi bukanlah perkara mudah yang mampu dilakukan oleh semua orang. Menghadapi hari-hari yang mendatang tanpa orang tersayang merupakan cabaran besar. Kesunyian, kekosongan jiwa daripada belaian kasih, kehilangan perhatian daripada orang yang tersayang dan kerinduan yang memuncak boleh menyebabkan seseorang menjadi gila. Bayangan-bayangan sewaktu bersama amat sukar dilupakan. Kehadiran yang pergi dalam bentuk bayangan-bayangan yang hidup di depan mata sering datang bertamu dan amat sukar dihilangkan.

Bersifat sabar

Oleh yang demikian, mereka yang redha, bersifat sabar dan tenang dalam menghadapinya, selayaknya diberi khabar gembira dan diiktiraf sebagai mereka yang terbaik amal perbuatannya.

Namun demikian, kesabaran dalam menghadapi situasi ini bukanlah bererti tiadanya kesedihan dan terhalangnya air mata. Rasulullah s.a.w. juga menangis ketika kematian puteranya. Apabila ditanya para sahabat Kenapa baginda menangis sedangkan baginda melarang meratapi kematian. Rasulullah s.a.w. menjawab Air mata itu bukti rahmat yang telah diletakkan Allah dalam hati (perasaan) hamba-Nya. Sesungguhnya Allah merahmati (kasih) terhadap hamba-Nya yang belas kasih sesamanya. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dari sudut yang lain, memahami kematian sebagai satu ujian adalah iktibar yang dapat diambil daripada sesebuah peristiwa kematian. Peristiwa-peristiwa kematian seringkali diceritakan oleh Rasulullah s.a.w. di dalam banyak hadis, antaranya yang terkandung di dalam sebuah hadis sahih riwayat Ibn Majah dan al-Baihaqi yang bermaksud :

Para malaikat turun mendatangi orang-orang yang sedang berhadapan dengan sakaratulmaut. Jika orang itu soleh, maka malaikat berkata. Keluarlah anda wahai roh baik yang berada di dalam tubuh yang baik. Keluarlah dalam keadaan terpuji. Bergembiralah menerima ketenangan, rezeki dan menemui Tuhan yang redha dan tidak murka.

``Ungkapan itu terus diulang-ulang hingga roh itu keluar. Kemudian roh dibawa naik ke langit. Pintu langit dibukakan untuknya dan ditanya, ``Roh siapa ini?'' Malaikat menjawab, ``Polan ibn Polan.'' Lalu dikatakan, ``Selamat datang wahai roh baik yang berada di dalam tubuh yang baik. Masuklah dalam keadaan terpuji. Bergembiralah menerima ketenangan, rezeki dan menemui Allah yang redha kepadamu dan tidak murka.'' Ungkapan itu terus diulang-ulang hingga roh sampai di langit yang ketujuh.

Azab

``Sebaliknya, apabila orang itu jahat, maka malaikat akan berkata, ``Keluarlah anda, wahai roh jahat dan berada di dalam tubuh yang jahat. Keluarlah dalam keadaan terhina. Rasakan azab berupa minuman daripada air yang sangat panas dan air yang tersangat sejuk dan banyak lagi azab lain yang seumpama itu.'' Ungkapan itu diulang-ulang hingga roh keluar. Kemudian roh dibawa naik, dimintakan untuk dibukakan pintu langit baginya, lalu ditanya ``Roh siapakah ini? DiJawab roh si Polan.'' Dikatakan kepadanya, ``Tidak ada ucapan selamat datang kepada roh jahat dan berada di dalam tubuh yang jahat. Kembalilah pulang dalam keadaan hina!'' Pintu-pintu langit tidak dibuka untuknya. Ia di usir dari langit dan kemudiannya masuk ke kubur.''

Peristiwa-peristiwa kematian yang diceritakan oleh Rasulullah s.a.w. ini tentunya bertujuan agar ia diambil iktibar oleh umat Islam. Peristiwa-peristiwa kematian ini menjadi ujian kepada mereka yang mengetahui agar menyediakan bekalan untuk berhadapan dengan-Nya.

Oleh IFZAM KHALIL

Bersabarlah Menghadapi Ujian

Hidup di dunia tidak lepas dari ujian dan dugaan dari Allah. Itu sudah menjadi rencah kehidupan manusia. Ada dua jenis bentuk ujian buat manusia, ujian dalam bentuk kesenangan dan ujian dalam bentuk kesusahan.

Cuma, acapkali apabila disebut ujian Allah maka rata-rata manusia beranggapan ujian itu adalah dalam bentuk bala dan musibah. Ramai yang lupa akan ujian kesenangan yang datang dalam pelbagai bentuk kekayaan, kekuasaan, kesihatan dan bermacam-macam lagi.

Bahkan ujian kesenangan sebenarnya lebih sukar kerana kebiasaannya manusia itu lupa kepada Tuhan tatkala dirinya mengecapi pelbagai kesenangan hidup. Apabila ditimpa kesusahan, kebanyakan manusia akan kembali menyeru Tuhannya.

Mengenai ujian kesusahan, firman Allah di dalam Surah al-Baqarah:

[155] Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar:
[156] (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali."
[157] Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya.

Maka antara ujian yang datang daripada Allah itu ialah timbulnya perasaan takut di hati, kelaparan, hilangnya harta benda, tanaman dan orang yang disayangi. Kebiasaannya apabila manusia ditimpa musibah, pastinya mereka akan berada dalam keadaan sedih, dukacita dan gusar. Tetapi manusia yang bersabar menghadapi ujian akan menerima khabar gembira.

Ciri Manusia Yang Sabar

Manusia yang sabar ialah mereka yang apabila ditimpa kesusahan akan segera ingat kepada Allah, dengan berkata, "Inna lillah wa inna ilayhi raji'un," bahawa hidup kita ini secara keseluruhannya adalah hak milik mutlak Allah - apa sahaja yang kita miliki, baik harta, kuasa, bahkan nyawa kita dan orang-orang yang kita sayangi kesemuanya adalah hak milik Allah. Maka pastinya Allah berkuasa melakukan apa sahaja yang dikehendaki-Nya ke atas segala yang dimiliki-Nya, dan akan tiba masa dan ketika di mana kesemuanya akan dikembalikan kepada-Nya.

Para 'ulama mengingatkan bahawa sabar itu mestilah berlaku pada pukulan pertama, iaitu ketika mula-mula musibah melanda. Bukannya seperti kata pepatah, alah bisa tegal biasa. Manusia apabila mula-mula ditimpa musibah, ramai yang akan cepat melatah dan tidak redha dengan ketentuan tersebut. Setelah keadaan reda sedikit dan dia mula sedar bahawa dia tidak memiliki jalan keluar, barulah dia akan mula insaf, redha kepada ketentuan Tuhan dan berkata, "Sabar sahajalah, nak buat macam mana lagi..."

Itu bukanlah konsep sabar yang sebenar. Sabar yang sebenar ialah pada detik pertama musibah melanda, lantas manusia yang bersabar terus redha dengan ketentuan Allah tanpa sedikit pun timbul rasa kecewa atau penyesalan. Mereka inilah yang akan mendapat khabar gembira tersebut walaupun dilanda kesusahan.

Apa pula bentuk khabar gembira itu? Pertama khabar gembira itu datang dalam bentuk selawat daripada Allah, iaitu mendapat keberkatan daripada Allah dan keampunan dari dosa-dosa.

Kemudian datang pula rahmat Allah melimpahi mereka. Sa'id ibn Jubayr rahimahullah, seorang tokoh Tabi'in mengatakan bahawa rahmat itu ialah pelindung daripada siksa azab neraka. Dan akhirnya mereka adalah orang yang benar-benar mendapat petunjuk daripada Allah. Orang yang mendapat petunjuk pula akan mendapat ganjaran yang banyak kerana mereka mengikut petunjuk Allah.

Abu Salamah Dan Ummu Salamah

Ada satu kisah menarik yang perlu kita soroti. Siapa yang tidak kenal akan Abu Salamah dan isterinya, Ummu Salamah, radiyallahu 'anhuma. Kedua-duanya adalah antara sahabat Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam yang terawal memeluk Islam. Mereka berdua adalah antara pasangan yang sangat bahagia, namun ditentang oleh suku kaum mereka kerana mereka memeluk Islam. Suku Makhzum adalah antara puak yang terkenal sangat kuat menentang Islam di Makkah.

Pada awalnya, kedua-dua Abu Salamah dan Ummu Salamah berhijrah ke Habsyah. Kemudian tatkala timbul seruan hijrah ke Madinah, bersiap-siaplah Abu Salamah, Ummu Salamah dan anak mereka Salamah untuk berhijrah ke Madinah. Abu Salamah hanya memiliki seekor unta, maka dia terpaksa berjalan dan membiarkan isteri dan anaknya menunggang unta.

Malang sekali di pertengahan jalan, kaum keluarga mereka telah mengejar dan menahan mereka. Unta Abu Salamah dirampas, manakala Ummu Salamah dibawa pulang oleh keluarganya ke Makkah manakala keluarga Abu Salamah pula mengambil anak mereka Salamah kembali ke Makkah jua. Akhirnya Abu Salamah terpaksa berhijrah ke Madinah seorang diri, dan terpisahlah ketiga-tiga mereka.

Setiap hari, Ummu Salamah akan kembali ke tempat mereka dipisahkan dan mengenangkan suaminya di Madinah dan anaknya yang dijaga oleh keluarga suaminya di Makkah. Lebih kurang setahun ketiga-tiga mereka hidup terpisah sehinggalah akhirnya Ummu Salamah dan anaknya dibebaskan.

Dengan semangat yang kuat, Ummu Salamah membawa anaknya, Salamah yang masih kecil untuk ke Madinah. Bayangkan seorang wanita dan anak kecilnya ingin berjalan jauh menuju ke pangkuan suami berseorangan semata-mata kerana ingin menjaga agamanya!

Ummu Salamah tidak mahu berlengah kerana takut suku kaumnya akan merubah fikiran dan kembali menahannya dan memisahkannya dari anaknya. Lantas dia memulakan perjalanan, dan sesampainya di Tan'im, penjaga Kaabah - Uthman ibn Talhah yang masih belum memeluk Islam berpendapat bahawa tidaklah patut Ummu Salamah dan anak kecilnya dibiarkan berkelana ke Madinah tanpa ditemani lelaki. Maka dia berjanji kepada Ummu Salamah bahawa dia akan membawa mereka ke Madinah.

Akhirnya bersatulah kembali Ummu Salamah dan suaminya, Abu Salamah. Percintaan suami isteri ini sangatlah kuat, sehingga dikatakan pada suatu hari, Ummu Salamah berkata kepada suaminya bahawa dia (Ummu Salamah) mendengar daripada Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam bahawa sekiranya kedua-dua suami isteri dapat masuk syurga, maka si suami akan kembali bersama isterinya jika isterinya tidak berkahwin lain selepas kematian suaminya; begitu juga isteri akan bersama suaminya jika suaminya tidak berkahwin lain selepas isterinya mati.

Lantas Ummu Salamah meminta suaminya agar mereka sama-sama berjanji untuk tidak berkahwin lain jika salah seorang mereka mati dahulu agar dapat bersama-sama kembali di syurga. Tetapi suaminya, Abu Salamah berkata, sekiranya dia (Abu Salamah) mati dahulu, dia mahu isterinya berkahwin lagi. Lantas Abu Salamah berdoa kepada Allah, andai dia (Abu Salamah) mati dahulu, kurniakanlah kepada isterinya seorang suami yang lebih baik darinya. Begitu hebat cinta dan kasih sayang kedua-dua suami isteri ini.

Pada peperangan Uhud, Abu Salamah mengalami kecederaan teruk. Ketika masih dirawat isterinya, Abu Salamah berkata bahawa dia mendengar Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam memberitahu, sesiapa yang ditimpa bala musibah, hendaklah dia menyebut istirja' (Inna lillahi wa inna ilayhi raji'un), dan berdoa, "Ya Allah, berilah ganjaran atas kehilangan akibat musibah yang melanda diriku, dan berilah ganti yang lebih baik daripadanya, maka pasti Allah akan mengurniakan sesuatu yang lebih baik." Akhirnya Abu Salamah meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya, dan tinggallah Ummu Salamah bersama anak-anak mereka di Madinah.

Ummu Salamah, tatkala teringat kembali akan kata-kata suaminya, sering melafazkan istirja' dan doa tersebut. Cuma dia seringkali tidak dapat meneruskan lafaz 'berilah ganti yang lebih baik', dan jika disebut juga lafaz tersebut, dia akan terkenang kerana baginya siapakah lelaki yang dapat menjadi suamu yang lebih baik daripada Abu Salamah. Segala kesusahan yang pernah mereka alami tatkala mula-mula memeluk Islam, ditambah dengan kebahagiaan mereka di Madinah menguatkan lagi rasa cinta Ummu Salamah kepada suaminya. Namun akhirnya berkat doa Ummu Salamah tersebut Allah mengurniakan Ummu Salamah seorang suami yang akhirnya diakui lebih baik dari Abu Salamah. Siapakah lelaki itu? Tidak lain daripada Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam sendiri.

Lihat sahaja ujian yang melanda Ummu Salamah. Ujian apakah yang lebih berat daripada kehilangan insan-insan tersayang yang banyak pula menempuh suka duka kehidupan bersama di jalan Allah. Namun Allah tetap memberi ganjaran kepada hamba-hamba-Nya yang bersabar.

- Artikel iluvislam.com